You must be logged in to view.
|
||||||
|
Salam alaik, Perhhhh…. Tajuk sensitif tu… Boleh kena blacklist sebagai orang anti-kerajaan …. Macam nak ikut jejak Raja Petra jadi pelarian je ? … Sebenarnya tajuk itu salahsatu komplen yang kita dok dengar setiap hari. Ada berlambak lagi yang boleh kita line-up kat sini. Kita boleh dengar segala jenis komplen kat gerai, restoran Melayu, kedai Mamak, kopitiam, food court dan dari syarahan drebar teksi Melayu. Saya boleh terjemah semua komplen kepada satu ayat => Orang Melayu Kuat Komplen. Masuk duit komplen, keluar duit komplen, tak dapat duit komplen, habis duit komplen, cukup duit masih nak komplen, tak cukup duit komplen, duit selambak pun komplen sebab nak banyak lagi, orang lain dapat duit pun dia nak komplen. Yang pelik tu orang lain tak dapat duit pun dia komplen. Komplen .. komplen .. komplen. Secara peribadi, kita semua ada masalah tersendiri di tahap mana jua kita berada. Segala masalah datang dari segenap ceruk – samada dijemput sendiri atau dihantar oleh orang lain. Saya rasa, lebih banyak masalah dijemput sendiri. Lepas tu, salahkan sana dan salahkan sini. Komplen sana komplen sini. Allahpun dah sebut, segala masalah adalah berpunca dari tangan sendiri TERMASUKLAH MASALAH DITINDAS. Untuk orang yang cuba bertaqwa pada Allah, setiap masalah yang datang adalah cubaan yang diterima dengan segala redha -samada dijemput atau datang sendiri. Tidak salahkan sana dan tidak pula salahkan sesiapa. Salahkan diri sendiri. Barulah senang urus masalah. Sesiapa yang salahkan diri sendiri, BARULAH DATANG KETENANGAN UNTUK MENGGUNAKAN AKAL supaya mudah untuk keluar dari masalah. AKAL yang tidak tenang susah untuk berfikir dengan lebih tajam. Masalah susah selesai. Apabila kita tahu bahawa kita perlu AKAL untuk keluar dari masalah, maka menuntut ilmu itu penting. Jika dulu kita tidak berpeluang atau malas menuntut ILMU, sekurang-kurangnya AMBIL TAHU MENGENAI ANAK-ANAK KITA SUPAYA MEREKA TIDAK DITINDAS PADA MASA AKAN DATANG. Apa kisah mereka di sekolah? Nakal ke? Ponteng ke? Baik ke? Rajin ke? Yang pasti, jika anak-anak remaja berada di rumah antara pukul 9 malam sehingga waktu subuh, MEREKA INI BERPELUANG UNTUK JADI ORANG YANG MULIA, BAIK, BERGUNA dan TIDAK DITINDAS di masa depan. Dan pasti juga, jika anak-anak remaja TIDAK BERADA di rumah bermula malam sehingga hampir subuh, nescaya mereka ini amat berisiko untuk jadi orang yang akan menindas orang lain atau ditindas. Biasanya pelajaran mereka di sekolah sangat lemah dan peluang pekerjaan terbuka dalam tahap bergaji murah. Melainkan terdidik dengan ilmu & kemahiran perniagaan yang halal. Apabila perbuatan berdosa lebih banyak dari perbuatan baik di dalam sesuatu masyarakat, nescaya PENINDASAN akan meningkat setiap hari. Maklumlah mereka ini tidak takut pada Tuhan dan tidak peduli Hari Pembalasan. Mereka ini tidak ingat pada kubur, maka sudah pasti tidak akan peduli hak orang lain. Apabila kita tidak peduli pada DOSA-DOSA yang sering dilakukan di sekeliling kita dan oleh diri kita sendiri, PENINDASAN dan MASALAH kita juga akan berterusan. Jadinya, PENINDASAN dan MASALAH adalah hanya petanda ( symptom ) penyakit lebih besar. Penyakit tersebut ialah FASIK, iaitu degil dan tidak takut pada ALLAH. Untuk masyarakat yang jahat, Tuhan sediakan orang yang jahat sebagai ketua yang berkuasa. Ketua lanun untuk para lanun. Yang bukan lanun jadi mangsa. Maka, ubat segala penyakit dalam masyarakat TERMASUKLAH nak hindarkan penindasan hanya ada satu saja. Iaitu BERTAQWA PADA ALLAH. Taqwa pada Allah semua orang dah tahu bagaimana dan apa dia. Jadinya kita bentangkan sikap orang FASIK: Jika majoriti masyarakat Melayu bebas dari sifat di atas, Insya Allah, sukar berlaku penindasan. Oleh itu, baik kita semua belajar dan usaha untuk bebaskan diri dari setiap sifat FASIK tersebut. Insya Allah, akan berkurangan penindasan dan mudah dibawa ke pengadilan jika ada berlaku sekalipun. Salam alaik, Musim apa lepas musim Haji? Kini telah tiba MUSIM CERITA HAJI…. Maklumlah, lama berada di tanah asing. Bercampur dengan segala manusia dari segenap mukabumi. Pasti ada macam-macam pengalaman dan cerita. Yang gembira, yang sayu, yang manis, yang pahit, yang suka, yang duka, yang biasa dan yang pelik. Ada yang bercerita sehingga menjadi motivasi kepada bakal haji. Pendengar yang belum ada niat nak tunai hajipun, terus berhasrat untuk daftar dengan Tabung Haji. Yang ini baguslah dan sangat terpuji. Tapi ada juga pembawa cerita pelik yang menyebabkan pendengar naik seram bulu roma sehingga membatalkan hasrat ke Tanah Suci. Ada cerita sehingga jadi macam legenda cerita ngeri pulak. Pembawa cerita pelik ni telah melakukan perbuatan keji dengan sedar atau tidak sedar. Kalau saya nak kutuk orang macam ni, ada segantang menanti tapi saya sabar ajelah. Atas rahmat dari Allah, saya juga telah ke Makkah dan Madinah beberapa kali. Adakalanya saya mengajak rakan-rakan yang berkemampuan tapi segelintir daripada mereka menjawab seperti sekian: Memang sah ! Mereka ni telah terpengaruh dan takut dengan cerita-cerita yang pelik daripada para mangkuk hayun yang suka berdongeng rakyat. Walaupun ia ada nilai pengajaran, namun ia menakutkan segelintir manusia sehinggakan mereka terlepas peluang untuk bertaubat di Makkah dan menziarahi Madinah. Ada juga kenalan yang agak nakal yang setelah lama dipujuk lalu bersetuju ke Makkah. NAKAL = segala jenis dosa ( u name it ). Mereka dapat lihat Kaabah dan dapat berdoa bagi nak rak lamanya kat depan Kaabah ( tersedu-sedu .. beb. ). Takde pulak orang alim kat sana halau mereka sebab NAMPAK dosa-dosa kering bergunung. Takde yang sakit menderita kat sana. Batuk dan selesema biasalah. Tambahan pula mereka enjoy shopping, exercise ( saie ) dan makan. Sekembalinya ke Malaysia, mereka jadi jauh lebih baik luar jangkaan. Orang dok kata supaya jaga hati sebab macam-macam boleh berlaku. Bukannya senang nak elakkan hati daripada berkata-kata. Tak salah jadi manusia kat Makkah sebab adakalanya penyedia pakej mungkir janji. Cuma kita patut lebih awas ( aware ) semasa di sana. Caranya ialah dengan selalu memperbetulkan niat dan mengingatkan diri tentang niat baik kita ke sana. Di sini, saya ada sikit nasihat seperti yang saya nasihatkan pada rakan-rakan yang telah ikut saya. Dua jenis orang yang seharusnya banyak mengawasi dirinya sendiri dan kurangkan bercakap kat Makkah: Dua jenis orang ni selalunya dapat balasan segera kat situ. Allah tak suka, Malaikat rahmat tak suka, Jin Islam tak suka, Manusiapun tak suka. Saya dah lihat macamana mereka jatuh sakit serta-merta, sesat jalan, kena hina dengan orang tak dikenali, orang benci, kena pukul, terkencing tempat tidur dan macam-macam lagi. So, yang paling elok sekiranya dapat jaga mulut dan jaga tabiat kat situ, jaga solat, banyakkan bersalawat, bersyukur, bertasbih dan bertahmid. Amalan seperti ini melembutkan hati, meningkatkan iman dan menjuruskan kita ke arah taqwa kepada Allah. Lagipun kita dah berpuluh ribu hari bercakap di Malaysia. Apa salahnya jika kurang bercakap kat Makkah dan Madinah. Dah berkoyan-koyan orang dok sabar dengan tabiat kita kat Malaysia, apa salahnya jika kawal diri sikit kat sana. Kan untuk diri kita sendiri. Semoga nasihat saya serba-sedikit ini dapat memberi manfaat. Semoga bakal Haji dan Umrah berjaya untuk merapatkan diri kepada Allah dengan kurang bercakap dan menjaga tabiat. Mann Trex Salam alaik, Bagaimana agaknya keadaan buku Matapelajaran Sejarah terkini yang digunakan oleh pelajar sekolah? Bagaimana rupanya sekarang? Apa imej yang ingin ditanam pada anak-anak kita semua? Saya tak tahu sebab tak baca. Mungkin penulis buku sejarah terkini lebih layak memberi pandangan. Mungkin ibubapa yang lebih prihatin boleh membuat semakan. Semasa saya kecil sehingga tamat pelajaran sejarah pada tahun 1976, imej yang diberikan oleh Matapelaran Sejarah lebih mirip kepada memperbesarkan penemuan dan kegagahan bangsa-bangsa Eropah seperti Portugis, Greek, Rom, Inggeris, German, Russia, Sepanyol dan Belanda. Yang agak pelik, buku sejarah amat buta kepada sejarah penemuan Sains, Matematik, Optik, Fiziks, Kimia, Astronomi, Geologi, Metallurgy, Biologi, Agro, Psikologi dan Perubatan oleh mana-mana Umat Islam dari Maghribi sehingga ke Khorasan. Walhal kaum Eropah hanyalah yang mengembangkan penemuan Umat Islam setelah membuat translation kitab-kitab Arab dan Farsi ke dalam bahasa Perancis dan Inggeris. Matapelajaran sejarah juga memberi pandangan begitu glamour terhadap tamadun China Kuno dan India Kuno. Saya cukup seronok membacanya. Walaupun begitu, saya juga rasa pelik kerana tidak terdapat kisah peradaban zaman kegemilangan tamadun Islam dari Sepanyol ke Indonesia di dalamnya. Mungkin kerana ia berada dalam matapelajaran Islam dan tidak berada dalam buku Sejarah. Apabila Sejarah Tamadun Arab Islam tidak berada dalam Matapelajaran Sejarah, ia memberi kesan negatif. Kesannya adalah “KNOWLEDGE GAP” oleh orang bukan Islam terhadap Umat Islam. Kesan besar dari “Knowledge Gap” ini ada 2 : Dari sekarang, saya memanggil KNOWLEDGE GAP sebagai BUTA. Kalau sebut jahil, teruk sangat bunyi. Dalam kurikulum saya ketika itu, ada juga mencuit sejarah kerajaan Sri Wijaya ( Melayu Hindu ) dan membentangkan banyak kisah kerajaan Melayu semasa di bawah pengaruh British sehingga merdeka. Namun tidak terdapat pembentangan kisah kerajaan Islam Kepulauan Melayu sebelum kedatangan Portugis. Sedikit sangat yang diperkatakan cara hidup kaum Melayu semasa Kerajaan Melaka sehinggakan terdapat anggapan yang meremeh dan menghina sehingga ke hari ini. Banyak “fakta” sejarah yang tidak terdapat dalam buku mungkin sebab SENGAJA atau TAK SENGAJA. Kesannya agak berat sehingga ramai pelajar yang jadi BUTA setelah tamat sekolah dan BUTA seumur hidup. Maklumlah siapa nak belajar sejarah lagi selepas sekolah. Mungkin penulis matapelajaran sejarah ketika itu tidak mendapat sebarang halatuju untuk bawa anak-anak ke mana. Tangkap muat dari buku-buku British dan terus terjemah tanpa berfikir lanjut. Sebenarnya penulis matapelajaran sejarah ketika saya bersekolah adalah juga BUTA sebab tidak menyangka bahawa Matapelajaran Sejarah membentuk dan mencanai fikiran anak-anak orang Islam dan Bukan Islam terhadap sesuatu di masadepan. Ia membentuk cara melihat, menilai, bertindak dan melaksana sesuatu seumur hidup. Ia membentuk 2 jenis esteem di dalam anak-anak, iaitu HIGH ESTEEM terhadap apajua Umat Eropah dan LOW ESTEEM terhadap apajua Islam. Tidak pula dikatakan di dalam matapelajaran sejarah bahawa Perancis, British, Belanda, German, Belgium, Sepanyol, Russia dan Portugis bukan hanya penjajah tetapi juga kaum yang amat zalim yang memecahbelah, menyeksa dan membunuh ratusan juta manusia di serata dunia selama 500 tahun. Tidak pula dikisar lebih lanjut apa itu Opium War dan bagaimana British menjahanamkan Kaum China dengan dadah Opium serta bagaimana tanah-tanah di India dirampas dari petani miskin untuk penanaman Pokok Candu oleh British India Company. Kaum Eropah masih dijulang sehingga hari ini WALAUPUN TERBUKTI kezaliman mereka dan ia masih TERUS BERLAKU sehingga ke hari ini. Kita bukan ingin menanam benci. Anak-anak sepatutnya diberi fakta yang secukupnya dan tidak bias. Saranan Saya Oleh itu, matapelajaran Sejarah untuk sekolah rendah ke sekolah menengah sepatutnya dipelopori oleh penulis dari pihak Universiti Malaya yang mempunyai sejumlah pakar Pedagogi dan pakar Sejarah. Halatuju sepatutnya diformulasi dengan baik berdasarkan wawasan negara. Mann Trex Salam alaik, Mungkin ramai ingin mencuba niaga tapi belum sanggup menanggung risiko kewangan. Ada juga yang tak dapat niaga kerana terlalu sibuk. Jangan gusar. Anda boleh lakukannya tanpa membabitkan sistem MLM, tanpa modal dan tanpa komplikasi. Saya ada cadangan yang boleh dilakukan oleh mana-mana komuniti di Malaysia dengan mudah. Sesuai untuk siapa? Cadangan niaga ini hanya memerlukan sedikit tenaga, masa dan logistik mudah. Tidak perlu modal. Yang berminat semestinya tidak mempunyai SIFAT LOKEK DAN TIDAK TERAGAK-AGAK untuk beri komisyen kepada Jurujual atau Penyedia Tempat. Lokasi Jualan ialah Dewan Komuniti atau Balai Raya. Mungkin kita dah biasa dengar Garage Sale dan Car Boot Sale. Ia hampir sama. Khazanah Di Rumah Khazanah yang saya maksudkan adalah BUKU-BUKU dan MAJALAH lama. Tidak kiralah samada Novel, Buku Sekolah, Buku Teknikal, Komik, Kamus … dan apa sajalah bahan bacaan. Walaupun dah berconteng atau terkoyak, yang penting masih boleh dibaca. Mari ambil satu contoh. Jika sebuah buku rujukan terpakai yang masih boleh dibaca boleh dibeli dengan harga RM5, maka tidak perlulah membeli yang baru dengan kos RM40. Di sini dua perkara berlaku: Empunya Khazanah boleh berada di tempat jualan untuk membuat jualannya sendiri pada hari tertentu. Pandai-pandailah letak harga, nego dan diskaun pada pelanggan. Jangan lupa bawa wang nota seringgit-ringgit. Hanya perlu berkongsi tempat dan meja-meja yang disediakan. Atau Empunya Khazanah boleh biarkan Penyedia Tempat uruskan jualan dan simpanan. Mungkin ambil kembali mana yang tidak terjual pada sekian waktu untuk simpanan sendiri. Banyak Faedah Dalam Satu Menjual bahan bacaaan terpakai secara tidak langsung menjaga alam sekitar, mengurangkan penebangan pokok-pokok di hutan dan meredakan kepanasan global. Di samping itu, projek seperti ini mampu memperkukuhkan semangat kejiranan dan mencetus aktiviti bantu-membantu di dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil. Sambil kanak-kanak seronok bermain beramai-ramai, sudah pasti mereka akan juga perhatikan gelagat orang-orang dewasa bersillaturrahim. Tauladan untuk hidup mereka di masadepan. Jika ide ini dapat dilaksanakan oleh setiap komuniti, bukan sahaja ia menjadi pengalaman awalan perniagaan, tetapi ia juga menjadi sebuah projek mikro pembangunan sosial. Mann Trex —————————————— Salam alaik, Selamat datang ke Ruangan Pandangan. Harapan saya agar dapat memberi sumbangan sedikit-sebanyak kepada komuniti di Malaysia. Mungkin artikel-artikel saya dapat mencetuskan ide ke arah hidup yang lebih positif. Di sini, saya kumpulkan pandangan saya terhadap pelbagai perkara dalam aspek kehidupan. Ada pandangan saya berkaitan isu lalu, kini dan akan datang. Saya bersedia menerima sebarang kritikan. Semua artikel di sini adalah tulisan saya sendiri. Mungkin juga saya akan menukilkan artikel menarik dari sumber lain jika ia berkaitan dengan pandangan saya. Dan di-izinkan untuk sesiapa saja menerbit semula artikel dan pandangan saya di laman masing-masing asalkan ia dapat memberi faedah pembangunan sosial. Semoga para pembaca dirahmati dengan kehidupan yang aman dan sejahtera. Mann Trex ——————————————— |
||||||
|
Copyright © 2010 MALAYSIAKU - All Rights Reserved |
||||||